Niat dan Ikhlas..

July 13, 2011





Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah. Syukur atas rahmat dan kasih sayang-Nya, saya masih ada kesempatan untuk mengekspresi tinta dan bait-bait kata di sini. Masih diberi peluang untuk terus hidup dan melalui kehidupan sehari-hari.


Ikhlas. Satu perkataan yang senang amat dibicarakan tetapi untuk ikhlas dalam sesuatu pekerjaan itu, amatlah susah. Senang untuk kita bicarakan, dalam hidup kita seharian sendiri, kita dipilih untuk belajar dalam bidang yang tidak berapa kita minati atas desakan ibubapa. Jadi untuk meneruskan pembelajaran, perlulah kita tanam dalam diri ikhlas untuk belajar dalam bidang ini semata-mata kerana Allah SWT kerana kita perlu sedar Allah SWT lah yang telah menentukan jalan hidup kita untuk berbakti dalam bidang tersebut.



Allah ta’ala berfirman (yang artinya), “Allah yang menciptakan kematian dan kehidupan dalam rangka menguji kalian; siapakah di antara kalian orang yang terbaik amalnya.” (QS. al-Mulk: 2)
al-Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullah menafsirkan makna ‘yang terbaik amalnya’ yaitu ‘yang paling ikhlas dan paling benar’. Apabila amal itu ikhlas namun tidak benar, maka tidak akan diterima. Begitu pula apabila benar tapi tidak ikhlas, maka juga tidak diterima. Ikhlas yaitu apabila dikerjakan karena Allah. Benar yaitu apabila di atas sunnah/tuntunan (Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyat al-Auliya’ [8/95] sebagaimana dinukil dalam Tajrid al-Ittiba’ fi Bayan Asbab Tafadhul al-A’mal, hal. 50. Lihat pula Jami’ al-’Ulum wa al-Hikam, hal. 19)
Seperti riwayat di atas, ditafsirkan orang yang paling baik amalannya ialah orang yang paling ikhlas dan paling benar. Jika kita melakukan sesuatu yang bertentangan syarak tapi kita sematkan dalam hati ikhlas, amalan itu tidak diterima bahkan boleh mengundang dosa. Jika kita melakukan sesuatu amalan yang tidak pun menentang syarak tapi kita tidak sertakan dengan niat yang ikhlas maka amalan itu tidak juga diterima. Tetapi jikalau kita melakukan sesuatu yang di atas tuntutan islam dan kita ikhlas melakukannya mengharapkan redha ilahi semata-mata maka amal itu benar dan ikhlas. 
Tambahan pula, orang yang ikhlas, mereka tidak senang dan gembira apabila jasa dan bakti mereka disebut-sebut kerana khuatir hilangnya niat yang mula-mulanya ikhlas tapi kemudian bertukar dengan mengharapkan pujian. Ya. Untuk thabat dan ikhlas dalam berbuat sesuatu itu memang payah. Takut-takut hendakkan ikhlas tapi akhirnya riya' dan takabur yang menyapa diri sendiri.
Mutharrif bin Abdullah rahimahullah mengatakan, “Baiknya hati dengan baiknya amalan, sedangkan baiknya amalan dengan baiknya niat.” (Sebagaimana dinukil oleh Ibnu Rajab dalam Jami’ al-’Ulum wa al-Hikam, hal. 19). Ibnu al-Mubarak rahimahullah mengatakan, “Betapa banyak amal kecil menjadi besar karena niat. Dan betapa banyak pula amal besar menjadi kecil gara-gara niat.” (Sebagaimana dinukil oleh Ibnu Rajab dalam Jami’ al-’Ulum wa al-Hikam, hal. 19)
Ikhlas itu bersangkut paut dengan niat. Niat itulah syarat layaknya diterima atau tidak sesuatu amalan kerana amal ibadah itu tidak akan mendatangkan pahala kecuali berdasarkan niat. Susah memang untuk menjaga niat kerana itulah kita diseru untuk sentiasa memperbaharui niat dalam apa jua yang ingin kita lakukan. Tidak kiralah berjalan-jalan makan angin ataupun berada dalam majlis ilmu. Hatta hendak melakukan sesuatu yang sekecil-kecilnya seperti mandi dan membersihkan diri. Kenapa ya? Sebab niat boleh mendatangkan kita ganjaran pahala walaupun kita masih belum lagi melakukan sesuatu pekerjaan itu.  Apa salahnya kita niatkan dulu dalam hati sebelum melakukan sesuatu pekerjaan agar kita dapat memperoleh pahala melakukan pekerjaan yang baik bahkan pahala niatnya pun kita perolehi.
Itu sahaja dari saya hari ini, moga perkongsian ini mendatangkan manfaat untuk semua termasuklah saya dalam mengingati kepentingan niat dan ikhlas dalam melakukan sesuatu. Wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum wbt.
rujukan : hadith arbain, muslim hadith

0 comments:

Post a Comment

a story of an old woman and the prophet Muhammad SAW~