MARAH

August 2, 2011



Assalamualaikum. Lama rasa tak jenguk blog sendiri.Alhamdulillah peperiksaan akhir semester dah habis dan saya sudah pun berada di tanah air tercinta. Hari ini insyaAllah nak kongsi pasal marah.

Sabda Nabi : “Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang bernyala-nyala dalam hati anak Adam”

Para sahabat pernah bertanya : "Apa yang paling berat?" Jawab Rasulullah "Murka Allah". Para sahabat bertanya lagi, "Macammana nak elakkan (murka Allah)" Jawab baginda, "Jangan marah"

Marah ialah perasaan normal yang dihadapi semua manusia. Kalau tak pernah ada rasa marah tu rasa macam tak normal la pula kan. Cuba kita fikir-fikir kembali, bila kita rasa marah apa yang kita buat? sesetengah orang kemungkinan terus melepaskan ketidak puasan hatinya dengan menengking orang yang terlibat. Masa tu, walaupun orang tersebut orang yang paling dekat di hati kita,tidak kiralah ibu bapa kita, adik mahupun sahabat karib, namun rasa marah tu dirasakan mengatasi segalanya. Bila dah marah tu, rasa menyesal la pulak kan? 

Sesetengah yang lain mungkin dapat bersabar sedikit dan melihat punca kejadian sebagai kelemahan diri sendiri supaya dapat mengawal perasaan amarah tersebut. Individu sebegini menahan amarah dengan perasaan rendah diri.Manakala sesetengah yang lain mungkin akan cuba menyampaikan perasaan marah secara positif dan berhikmah ( suara yang tenang dan tidak meninggi ) kerana mempertimbangkan pentingnya teguran untuk kebaikan bersama. 

Pada pendapat saya, langkah yang terbaik ialah dengan kita mempertimbangkan perbuatannya secara positif dan cuba menegur dengan berhikmah kerana jika tidak dia mungkin mengulangi perbuatan yang kurang disenangi itu dengan orang lain.

Antara amalan yang boleh dipraktikan untuk menangani marah:

-Mengamalkan taawuz.Berdoa kepada Allah agar dijauhkan dari gangguan syaitan.
"dan jika syaitan datang menggodamu maka berlindunglah kepada Allah. Sungguh, Dia Maha Mendengar , Maha Mengetahui” (Al-A’raf:200)

2 org lelaki bermaki-makian di depan Nabi, salah seorang daripada mereka memaki seorang lagi dgn keadaan merah padam mukanya kerana kemarahan. Nabi SAW bersabda, "sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah kalaulah kalimah tersebut diucapkan oleh org yg marah itu nescaya akan hilang kemarahannya iaitu aku berlindung dgn Allah Ta’ala daripada syaitan yg direjam”(hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


- Mengubah posisi untuk mengurangkan amarah.

“Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Muslim)
- Berwuduk.  
“Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud) .

-Tidak berkata-kata kerana kata-kata boleh menambahkan kemarahan dan kata-kata yg telah dilafazkan membuatkan timbul rasa penyesalan tika perasaan marah telah reda. 


Nabi SAW barsabda:
"apabila seseorang kamu marah hendaklah dia diam" Nabi saw mengucapkannya 3 kali” (Hadith riwayat Ahmad, Tarmizi & Abu Daud)

Cara-cara di atas sedikit sebanyak dapat membantu di kala marah. Mungkin sahabat-sahabat sendiri ada banyak tips untuk mengawal perasaan marah. Bolehlah dikongsikan dengan saya ya.

Akhir sekali, cubalah kita fikir-fikirkan kembali, adakah kita sebagai hamba Allah layak untuk memiliki perasaan marah kerana semua manusia secara fitrahnya mempunyai khilaf masing-masing. Kita mengetahui kelemahan kita dan yang paling Maha Mengetahui mengenai diri kita ialah Allah SWT. Allah SWT pun sifat Maha Penyayang dan Maha Pemurahnya mengatasi kemurkaanNya. Bila kita buat sesuatu yang mengundang kemurkaanNya, kita hanya perlu bertaubat dan memohon keampunan dan insyaAllah Allah akan menerima taubat hambaNya.

Nikmat-nikmat yang Allah berikan tidak terkira luasnya untuk kita sebagai hambaNya walhal kita banyak berbuat salah dan sering melanggar suruhan dan laranganNya. Maka wajarlah untuk kita bermuahasabah kembali di mana letaknya iman kita jika kita sering tidak mampu untuk mengawal perasaan marah kita.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya, Seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w. “Berwasiatlah kepadaku," Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”

Riwayat al-Bukhari.





Peringatan untuk kawan-kawan dan diri sendiri terutamanya.. =) Mohon maaf atas segala kekurangan dalam post kali ini. Wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.





0 comments:

Post a Comment

a story of an old woman and the prophet Muhammad SAW~