Lantaran takut amalnya kurang

March 15, 2011

Di zaman hidupnya,Rasulullah SAW ada seorang wanita yang terkenal bernama Asma binti Yazid dari golongan Ansar. Wanita ini amat terkenal sekali kerana sikapnya yang membela kaum sejenisnya iaitu kaum wanita. Bagaimanapun beliau membela dari segi yang hak dan benar.Beliau hanya seorang wanita biasa sahaja,tetapi kerana sikapnya yang berani lagi kuat berusaha,beliau menjadi terkenal.Disenangi dan dihormati oleh masyarakatnya,malah Nabi SAW dan para sahabat pun turut menghormatinya juga.

Pada suatu hari,Asma datang berjumpa Rasulullah SAW tatkala bagind sedang berkumpul dengan para sahabat. Di depan Nabi,Asma berkata;
" Wahai Rasulullah! Saya ini adalah utusan wanita-wanita di sini."kemudian beliau melanjutkan percakapan.

Asma menerangkan tentang tanggungjawab berat yang dipikul oleh kaum wanita. Mereka itu pada pendapatnya hanya terkongkong di rumah sahaja,menjaga rumah dan menderita ketika hamil.Kaum lelaki nampak tinggi darjatnya seakn-akan lebih mulia dari wanita. Mereka pergi Solat Jumaat, jemaah, mengunjungi orang sakit dan menghantar jenazah. Yang lebih utama lagi kelebihan lelaki menurutnya ialah berperang di jalan Allah.Bila laki pergi menunaikan haji dan berjihad,maka wanita yang menjaga harta dan menjahit pakaian serta mendidik anak.

Semuanya dihuraikan dengan panjang lebar oleh Asma dalam membayangkan kesedihan kaumnya.Seakan-akan kaum lelaki diberi kelapangan beramal,lebih banyak peluang berbuat maaruf sehingga nantinya lelaki perolehi pahala yang lebih di sisi Allah SWT. dari kaum wanita.

"Apakah kami tidak boleh menyertai kaum lelaki dalam membuat amal maaruf agar peroleh pahala yang sama banyaknya?"demikian Asma menutup pembicaraannya.

Dari pengaduannya itu fahamlah Rasulullah SAW betapa besarnya semangat ingin beramal dan melakukan kebajikan dikalangan kaum wanita islam.Mereka seakan-akan khuatir kurang pahalanya dari kaum lelaki,justeru kesempatan untuk berbuat amal dirasakan tidak seluas terbuka kepada mereka sebagaimana kaum lelaki.

"Adakah kalian pernah mendengar tentang wanita yang lebih baik halnya di dalam urusan agamanya dari wanita ini?"demikian Nabi bertanya kepada sahabat baginda.

"Tidak kami duga bahawa seorang wanita diberi hidayah Allah seperti Asma ini",sahut para sahabat.

Sambil tersenyum kepada Asma,maka berkatalah Rasulullah SAW;
"Wahai wanita yang beriman!"Nabi SAW berbicara,lalu menyambung;

"Terangkanlah kepada kaummu itu bahawa sesungguhnya berlaku baik serta taat pada suami,hidup suka menyukai,turut memperturutkan semuanya adalah sama pahalanya dengan amal kaum lelaki."

Asma mendengar dengan tenang sekali dan setelah selesai Nabi SAW memberi penerangan, maka Asma pun meninggalkan tempt itu.Ternyata beliau gembira sekali dengan penjelasan Nabi SAW.Beliau kembali menemui wanita arab untuk memberitahu mereka apa yang telah dijelaskan oleh Nabi SAW sebentar tadi.Semua wanita mendengar dengan gembira kerana barulah mereka sedar betapa luasnya pengajaran islam.

Inilah usaha Asma dengan keberaniannya.Beliau berani menanyakan kepada yang paling tinggi,iaitu Nabi SAW sendiri.Akhirnya Asma diberi gelaran 'Rasulun nisa' iaitu utusan istimewa wanita arab kepada Nabi hinggakan semua penduduk kenal padanya.

Dari kisah ini,kita bolehlah mengambil ibrah bahawa kaum wanita tidak perlu malu untuk bertanya kepada guru walaupun guru tersebut ialah seorang lelaki dan dalam kisah ini juga muncul persoalan berkenaan ketidaksamaan antara wanita dan lelaki.Allah Maha bijaksana mengaturkan perempuan itu bekerja sesuai dengan kudratnya dan pahalanya juga tidak akan berkurang dari lelaki jika kaum hawa itu berusaha untuk melaksanakan ketaatan kepadaNya.

Kalau kita lihat di zaman ini isu persamaan hak yang timbul yang datangnya dari barat sebenarnya diajukan oleh golongan yang kurang mendalami islam kerana jika mereka meneliti dan mengambil pengajaran dari kisah-kisah terdahulu insyaAllah persoalan mereka akan terjawab serta tidak akan timbul sikap untuk terikut-ikut dengan perkara yang diperjuangkan oleh orang-orang barat.Saya sendiri apabila berkesempatan ke sana dapat melihat isu persamaan hak yang sangat dititikberatkan membuatkan kebanyakan orang barat menjadi kurang beradab.Mereka tidak lagi memberi tempat duduk pada yang kurang upaya,pada wanita yang hamil dan wanita-wanita kerana beranggapan yang kaum wanita dan kaum lelaki ialah sama dan tidak perlu diberi hak yang lebih.

Oleh itu,kita hendaklah bersyukur dengan nikmat iman dan islam yang telah Allah anugerahkan kepada kita.Itu sahaja untuk entry kali ini..=)=)

0 comments:

Post a Comment

a story of an old woman and the prophet Muhammad SAW~